RS Mohan

KUALA LUMPUR – Malaysia Hindu Sangam (MHS) mengulangi kenyataan bahawa kuil Hindu tidak boleh dibuka mahupun upacara keagamaan diadakan semasa berlakunya fenomena gerhana bulan pada sambutan hari Thaipusam, 31 Jan ini.

Presidennya, Datuk RS Mohan Shan berkata masyarakat Hindu di seluruh dunia secara amnya berpegang teguh kepada ritual sebegini sejak dahulu kala, memandangkan impak negatif fenomena gerhana kepada mereka.

“Kebiasaannya, kuil tidak akan dibuka sepanjang tempoh gerhana dan masyarakat Hindu juga tidak digalakkan keluar rumah, bimbang akan ‘gelombang negatif’ yang wujud akibat gerhana,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata gerhana bulan dijangka berlaku sekitar jam 7.48 malam dan berakhir 11.11 malam pada hari tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Kuil Devasthanam Sri Maha Mariamman hari ini bahawa upacara keagamaan di Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada hari Thaipusam akan diteruskan, termasuk pada tempoh gerhana bulan.-BERNAMA

Thaipusam diteruskan walaupun gerhana bulan

Tinggalkan Jawapan