Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada Forum Putrajaya 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi mengenai kedaulatan negara dengan mengikut telunjuk negara lain.

Perdana Menteri turut berjanji dengan tidak membenarkan negara lain mengarahkan apa yang perlu dilakukan kepada Malaysia.

“Masa depan negara ini sebenarnya ditentukan oleh rakyat berdasarkan fakta. Bukannya berita palsu, propaganda, janji manis dan ilusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Putrajaya 2018 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 di sini hari ini.

Najib menegaskan, kerajaan akan terus memelihara kebebasan dan keselamatan daripada sbarang ancaman pada masa sekarang dan akan datang.

Jelas beliau, usaha itu dibuktikan apabila meningkatkan kos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan negara bagi mencegah kes penyeludupan termasuk manusia dan ancaman pengganas.

Tegasnya, pada masa sama, keupayaan peralatan senjata
pasukan keselamatan yang ditempatkan diperluaskan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).

“Selain itu, kerajaan juga telah meningkatkan pemantauan di sempadan tanah Sabah dan Sarawak menerusi AgensiKeselamatan Sempadan (AKS) dan menambah komuniti keselamatan ke anggota pasukan Sukarelawan Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam usaha mencegah jenayah.

“Pada masa sama, kerajaan telah meningkatkan usaha kerjasama dengan pemain industri pertahanan awam untuk membangun teknologi pertahanan buatan anak tempatan dan menubuhkanPusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta meneruskan inisiatif untuk menyelesaikan konflik kawasan di Selatan Mindanao, Selatan Thailand dan Rakhine di Myanmar,” katanya.

Pada masa akan datang, jelas Najib, kerajaan akan melakukan transformasi ke atas pasukan elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) bagi menjamin masyarakat terlepas daripada ancaman keselamatan.

Sejajar komitmen itu, kawasan tinggi kadar jenayah dipantau secara terus menggunakan kamera litar tertutup definisi tinggi (CCTV HD).

Dalam pada itu, kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dari 60 negara menyertai DSA 2018.

DSA edisi ke-16 itu menyasarkan kehadiran sehingga 40,000 pelawat termasuk 300 delegasi peringkat tinggi dari luar negara. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan