Dr Mahathir Mohamad

ALOR SETAR – Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kembali bertanding ke kawasan lamanya di Kubang Pasu sebaliknya memilih Langkawi mungkin disebabkan beliau sedar legasinya sudah dilupai rakyat.

Untuk rekod, Mahathir merupakan bekas Ahli Parlimen Kubang Pas dari tahun 1974 hingga tahun 2004.

Bagaimanapun beliau membuat keputusan untuk bertanding Parlimen Langkawi kerana mungkin dianggap kerusi selamat baginya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa mempersoalkan keputusan Mahathir yang tidak kembali ke Kubang Pasu dan melihat bekas perdana menteri itu dipergunakan oleh rakan pembangkang semata-mata.

“PPBM dan pembangkang dilihat memperkudakan Tun M untuk bertanding di Langkawi kerana dilihat ia sbg kerusi selamat untuk mereka menang di Kedah walhal hakikatnya rakyat di Langkawi memerlukan pemimpin yang lebih turun padang bersama rakyat.

“Mengapa Tun M tidak memilih untuk kembali ke kerusi lamanya ini juga menimbulkan pelbagai tanda tanya,” kata beliau kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa.

Dalam pada itu, Syed Hafiz juga tidak menolak Mahathir mungkin sedar dirinya tidak berpengaruh lagi sejak bersama  pembangkang, malahan anaknya sendiri Datuk Seri Mukhriz juga tidak berani bertanding di Kubang Pasu.

“Dalam pada itu, jika Mahathir yakin sangat dengan pengaruhnya mengapa tidak diletak anaknya, Mukhriz bertanding di Kubang Pasu tetapi sebaliknya memilih calon luar.

“Adakah ini bermakna legasi yang ditinggalkan Tun M di Kubang Pasu tidak dihargai dan sudah dilupakan oleh pengundi Kubang Pasu,” katanya lagi.

Dengan pengumuman semalam, Syed Hafiz yakin rakyat dapat menilai kegagalan Mahathir semasa zamannya yang dilihat tidak mementingkan rakyat sehinggakan kini pengundi di kawasan lamanya sendiri menolaknya.

“Jika kawasan sendiri yang ditandingi selama berpenggal-penggal pun tidak diyakini menang, masakan pembangkang dan Mahathir mahu menawan Kedah.

“Rakyat yang tidak berparti hari ini lebih menyedari kemampuan dan komitmen jentera dan calon BN akan mengotakan janji,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

Tun Mahathir sah bertanding di Langkawi

 

Tinggalkan Jawapan